Thursday, November 3, 2016

HATI HATI DENGAN KATA KATA

"Kata ibarat pedang yang tajamnya bisa membunuh lawan"-Inteam
Manusia mudah lupa sebab itu nama kita manusia kerana kata dasar bagi manusia adalah 'nasiya' yang membawa maksud lupa.
Manusia semestinya diberi peringatan, ingatkan dia tentang perkara perkara yang baik serta beri amaran pada perkara perkara yang buruk.
Salah satu benda yang sering kita guna dalam kehidupan seharian namun kita tak sedar kadangkala ia mengungkapkan sesuatu perkara yang buruk.
.
.
.
MULUT
.
.
.
Apa yang diungkap kadang kadang kita terus hamburkan saja pada orang yang berkenaan tanpa berfikir panjang. Tanpa berfikir 'betulkah apa yang aku katakan?' , 'terasa hati kah dia dengan apa yang telah aku katakan?'. Sebelum kita mengucapkan sesuatu perkara, ada kita fikir kesan dan akibat setelah kita berkata sedemikian pada seseorang itu?
Wahai makhluk yang bernama manusia, ingin aku ingatkan disini supaya FIKIR sejenak sebelum kau mula berbicara.
.
.
.
Mungkin pada kau, kau rasa bagaikan ia hanya perkara remeh, tak perlu nak terasa. Ada yang berkata bahawa dia bergurau, jadi tak payah nak ambil berat akan hal tersebut.
Takkan tak tahu, kita ni manusia, makhluk yang diciptakan olehNya yang mempunyai PERASAAN. Walau kau cakap perkara yang remeh namun kadangkala ada orang yang akan terasa hati dan akan memahat kata kata tersebut dalam hati mereka sampai bila bila.
.
.
.
Baiki diri, baiki cara pertuturan, baiki cara pendekatan kita dengan seseorang. Berkomunikasilah dengan berhemah. Andai kau bicara dalam hikmah, sudah tentu kata kata tersebut akan tersimpan kemas dalam hati tanpa ada rasa kecil hati.
*Buat kita manusia yang mudah lupa*

Thursday, February 18, 2016

Kesulitan yang kau alami hari ini tak bererti kau akan terus berada dalam kesusahan.
Siapa tahu mungkin akan ada sinar dihujung setiap kesulitan itu?
Dia Maha Mengasihi, Maha Pemberi.
Hambanya hanya akan diuji dengan ujian yang seiring kemampuan.
Tabah dalam menempuh segalanya, kerana ada Hikmah diakhirnya.
Semoga dipermudahkan segala urusan hari ini esok dan hari hari seterusnya ❤
*bak kata Devotees...
"mungkin di baliknya ada bahgia"

Sunday, February 7, 2016

Hubungan

Jodoh itu ada. 
Namun kita tak tahu siapa dan bila ia akan hadir dalam hidup kita.
Ya, hubungan paling rapuh adalah hubungan berpacaran.
Mengapa? 
Andai kata A dan B berpisah, mereka mungkin akan menjadi kawan dan mungkin juga akan menjadi orang asing antara satu sama lain. Siapa tahu?
Namun, hubungan dengan kawan, sahabat merupakan hubungan yang boleh dikatakan utuh sebab walau kita bergaduh macam mana sekali pun, kawan akan tetap kawan ❤

Saturday, December 5, 2015

Dia

Aku suka masa mula mula masuk CFS tahun lepas. Habis kelas terus jumpa dia di Ainon Bakery. Boleh dikatakan every week aku jumpa dia. Kalau sesiapa yang kenal dia, mesti takkan lepas sebab dia terbaik !
Sekarang aku masih ingin bertemu dengannya namun apa dayaku kerana Program Asasiku di CFS telah tamat baru baru ini. Alhamdulillah.
Nak dijadikan cerita, waktu cuti ni aku terjumpa kawan dia di Internet. Apa lagi, mula lah discover apa yang ada. Selepas beberapa minggu aku tunggu, dan penantian ini sememangnya akan berakhir namun tak tahu bila ia akan berakhir.
Memandangkan haritu aku tak banyak kerja kat rumah sebab tempahan manik dah siap, kerja kerja rumah pun dah selesai, apa lagi aku terus keluar untuk mencari sesuatu bagi merealisasikan impian aku bertemu dengannya. Sesampainya di rumah aku terus memulakan apa yang ditunggu tunggu selama ni. Buat apa wehhh?!
.
.
.
Taraaaaa !
Cream puff in the house !
.
.
.
Haaa, dia ni lah aku nak jumpa sangat sangat tu. Serius, pertama kali aku makan kat CFS dulu, memang aku tak boleh duduk diam selagi aku tak buat dan makan dia. Tak susah mana pun nak siapkan cream puff ni. Dia mengembang dengan sekembang kembangnya. Penuh tray. Dari adunan tu aku dapat buat 15 biji cream puff. Kalau orang lain buat kecil kecil mungkin boleh dapat lagi banyak. And filling puff tu ada extra. Aku paipkan dalam puff sampai dalam puff tu penuh. Kalau makan memang filling dia akan meleleh tapi sedap!
Jangan salah faham dengan entry kali ni ya. Saja bagi suspen sikit apa benda yang aku nak cerita. Serius takda kaitan dengan makhluk yang bernama manusia sebab entry ni memang mengenai makanan yang aku suka. Lama tak update blog, ini la jadinya. Imaginasi melebih lebih.
Aku selit sekali gambar cream puff yang aku buat baru baru ni. Selamat mencabar diri membuat cream puff dan selamat menikmatinya ~

Saturday, September 12, 2015

Kejadian Itu . . .

Setelah sekian lama berada dirumah menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga, aku perlu kembali ke tempat pengajianku di Petaling Jaya. Pulang semata mata untuk menduduki peperiksaan akhir untuk semester kali ini yang juga merupakan tahun terakhirku bergelar pelajar asasi.
Hatiku ketawa kecil tatkala aku teringat akan kejadian yang berlaku semasa dalam perjalanan pulang dari Penang ke PJ.

Sesudah aku sampai di Pudu Sentral, aku teruskan langkahku menuju ke stesen Plaza Rakyat dan seperti biasa aku membeli token untuk menaiki LRT menuju ke Stesen University. Biarpun waktu itu kaki sudah tak terasa menjejak lantai, aku tetap berjalan. Semasa menaiki tangga menuju ke platform, aku terdengar bunyi enjin train. Ia telah tiba ! Dengan berbekalkan tenaga yang tak seberapa, aku memulakan larian dari tangga eskelator menuju ke pintu masuk train. Tanggapanku untuk melepasi pintu train tersebut ternyata salah apabila beg galas yang aku guna tersepit di pintu train, tidak sempat masuk sepenuhnya ke dalam train. Dengan sekuat hati aku cuba membuka pintu train tersebut, Alhamdulillah, mujur ia terbuka semula.
Perasaan waktu itu, aku tak dapat khabarkan bagaimana. Tapi, perasaan malu itu memang ada. Namun, aku cuba sembunyikan ia kerana pada waktu itu penumpang memang ramai dan semua lihat apa yang telah aku lakukan dihadapan mereka. Nak cepat punya pasal, aku lakukan juga. Biar apa orang nak kata, asalkan aku tak perlu menunggu train yang seterusnya tiba. Mujur aku tak lama dalam train tersebut. Kalau tak, jenuh aku menanggung malu.

Pengajarannya di sini , biar lambat asal selamat. Semoga selepas kejadian tersebut, aku tidak lagi bertindak sedemikian. Amatlah bahaya ! Semoga insiden tersebut menjadi pedoman buatku. Mohon fikir dua tiga kali sebelum membuat keputusan. Alhamdulillah selamat sampai CFS.

Esok exam, semoga dipermudahkan segalanya ~

Wednesday, August 19, 2015

Manik dan Labuci

Ramai bertanya , sejak bila aku menceburi bidang jahitan ni ? Khususnya jahitan manik dan labuci. Minat yang sebetulnya berputik sejak darjah 6 di SK Ara Rendang.
.
.
.
Bagaimana timbulnya minat tersebut? Setelah berakhirnya peperiksan UPSR, aku masih lagi ke sekolah kerana ada pelbagai program yang dianjurkan oleh guru guru untuk kami pelajar lepasan UPSR pada waktu itu. Satu hari, guru Bahasa Melayu iaitu Pn Norazimah telah menganjurkan "bengkel" jahitan manik untuk pelajar yang berminat untuk menyertai. Aku terus menyertainya tanpa berfikir panjang. Masih segar diingatanku. Jahitan manik yang menggunakan dua warna manik iaitu hijau muda dan hijau tua kerana baju yang aku bawa pada waktu itu berwarna hijau pucuk pisang. Pn Norazimah mengajarku menjahit manik yang ringkas namun ia nampak cantik apabila digayakan kerana kilauan dari manik tersebut yang membuatkan ianya nampak menawan.
Habis sahaja sekolah rendah, aku sudah lupa akan jahitan manik tersebut.
.
.
.
Namun, apa yang mengejutkan aku, pada masa itu umur aku 17 tahun. Abahku yang paling aku sayang menghulurkan sehelai kertas yang menyatakan bahawa akan ada kursus jahitan manik jangka pendek di tempat yang agak berdekatan dengan kawasan rumahku. Aku beria ria ingin mengikuti program tersebut. Abah dan mak memberi keizinan untuk aku menyertainya. Dan Alhamdulillah Pn Ezan mengatakan aku salah seorang pelajar yang cepat tangkap apa yang diajar ketika program itu berlangsung. Pelbagai jenis jahitan aku belajar pada waktu itu. Aku jua belajar bagaimana bergaul dengan orang yang lebih berusia dari aku kerana aku merupakan peserta termuda dalam program tersebut. Setelah program itu, aku tidak mengambil apa apa tempahan atas alasan akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun tersebut.
.
.
.
Namun, aku tak dapat menahan minatku terhadap jahitan manik. Memandangkan baju raya pada tahun itu siap awal, aku membuat keputusan untuk menjahit manik pada baju raya kami sekeluarga kecuali baju abah dan Adib. Aku juga turut serikan tudung yang dipakai ketika itu dengan kuntuman labuci di bahagian tepi kepala. Aku juga menjahit manik pada baju temanku Nur Syazwani sebagai hadiah kepadanya pada hari lahir.
.
.
.
Selepas peperiksaan SPM, aku tidak bekerja di mana mana kerana terpaksa menguruskan adik adikku untuk ke sekolah dan sebagainya. Jadi aku membuat keputusan untuk bekerja dari rumah. Aku mula mengambil tempahan jahitan manik dari jiran jiran, rakan rakan dan guru guru. Aku menerima tempahan dari Amira untuk menjahit pada belt jubahnya, jahitan pada tangan baju jubah hitam Anisah,baju Ustazah Nariza 3 pasang semuanya, baju Pn Kamarul Ashikin, baju Ustazah wahida 2 pasang, baju dan tudung Kak Azrina, tudung makcik Yati dan juga baju Kak Liza.Alhamdulillah, berkat dari usaha serta sokongan ahli keluarga, aku dapat pendapatan sendiri pada waktu itu dan aku menggunakan hasil tersebut untuk membeli barang keperluan masuk ke Universiti. Setiap kali cuti semester, aku akan membuka tempahan jahitan manik. Kalau ada rezeki, adalah.
.
.
.
Pada awal tahun ini,aku menerima tempahan untuk menjahit manik pada baju sepupuku di hari bahagianya. Aku menaikan lagi seri busana pengantin dengan manik, batu akrilik dan mutiara. Aku juga turut menjahit manik pada baju kakak pengantin. Alhamdulillah, mereka berpuas hati.
.
.
.
Sekarang, demi memenuhi tuntutan sebagai pelajar, aku tidak mengambil sebarang tempahan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada semester terakhir aku di asasi. Setelah habis asasi, inshaAllah aku akan mengisi cutiku dengan tempahan  jahitan manik. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.

Sunday, December 21, 2014

Rezeki atau Ujian ?

Apabila ditanya mengenai keputusan peperiksaan yang terdahulu, sungguh,sukar untuk aku khabarkan. Kerana aku tahu, aku bukanlah insan seperti mereka yang jauh lebih pintar dariku. Namun, apabila aku memberitahu keputusan peperiksaanku kepada mereka,seolah-oleh mereka sukar untuk mempercayainya.

Mereka mengatakan bahawa aku berbohong, sampaikan ada yang berkata "kalau ingin rendah diri sekalipun,tak usahlah kau berbohong".
Untuk apa aku berbohong?

Andai aku berbohong pada mereka,bermaksud aku membohongi diriku sendiri. Apa mereka tidak faham situasiku atau sengaja buat buat tak faham? Aku tahu, mereka barangkali mengatakan bahawa pelajar ambilan pertama yang masuk ke tempat ini adalah dari kalangan pelajar-pelajar yang mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dalam peperiksaan yang lalu. Namun, mungkin aku adalah insan yang dikurniakan rezeki untuk melanjutkan pelajaranku disini, barangkali ia satu rezeki,atau mungkin ia satu ujian. Aku mengatakan demikian kerana tempat yang aku ingin meneruskan pengajianku ini merupakan tempat yang aku idam idamkan sejak di bangku sekolah lagi  Aku bersyukur dengan kurniaan ini. Mungkin Dia ingin aku berusaha lebih daripada orang lain,menyahut kata kata ahli keluargaku untuk mengubah nasib hidup kami yang serba sederhana ini. Aku tahu, hal ini sukar, perkara ini payah untuk aku tanggung sendiri. Namun, andai kita meletakkan sesuatu perkara itu kerana Dia, segala yang payah,bakal dimudahkan, inshaAllah.

Semoga segalanya dipermudahkan. Semoga aku kuat menghadapi semua ini. Semoga aku berjaya di dunia dan di akhirat. Aku mengharapkan doa kalian untuk aku meneruskan perjuanganku disini. Syukran jazilan. ☺
Semoga kalian juga berjaya di dunia dan akhirat ! Ayuh sama sama bangkit berjuang demi Islam ! Allahhuakbar !